Tuesday, June 14, 2011

Semangat baru...

Dalam beribu kaca yang bertaburan pasti ada sebutir permata yang jika digilap akan menjadi sesuatu yang amat berharga...  Dalam alunan air yang mengalir ke hilir, si penongkah arus pasti akan menjadi tumpuan...

Dalam ramai pemimpin yang berpura-pura, yang tulus dalam perjuangan pasti akan menjadi tonggak harapan...  Dalam ramai pemimpin yang bermain politik keterlaluan, yang berani membawa perubahan pasti akan mendapat sokongan...

Sejauh mana kita ingin menjadi seorang yang dinanti-nantikan tersebut?  Sejauh mana kita ingin membawa angin perubahan yang bakal melakar sebuah lanskap politik baru?

Memulakannya akan dikata gila... Meneruskannya akan dikata tidak pandai berpolitik... Merealisasikannya akan dikata membunuh karier sendiri...

Adakah kita jenis yang mudah diperkotak katikkan?  Adakah setiap patah perkataan yang berbau perpaduan mempunyai nilai setulus hati si penerimanya?

Si muda tak semestinya tidak cerdik manakala si tua tak semestinya jujur dalam pertuturannya...  Masing-masing ada agenda dan motif...  Ada yang mengejar peluang yang kelihatan terbentang selepas ketuanya kelihatan tergelimpang...  Ada yang bertutur sekadar mencari modal untuk diletakkan di atas pinggan... Yang penting bukannya siapa yang bertutur tetapi siapa yang mendengar pertuturan...

Dengar cakap enggang,
Makan buah beluluk,
Dengar cakap orang,
Terjun dalam lubuk...

Jangan yang dikejar tak dapat,
Yang dikendong berciciran...
Mendengar guruh dilangit,
Air di tempayan dicurahkan...

Alang-alang menyeluk pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan...
Genggam bara api,
Biar sampai jadi arang...

Kun faya kun...
Kalau yang hak pasti akhirnya berhasil...

Bila yang lain-lain yakin dengan kita, jangan kita hampakan harapan tersebut... Perjuangan bukan sekadar ungkapan untuk disebut tetapi perlu dipadukan dalam niat dan perbuatan...

No comments:

Post a Comment