Saturday, July 9, 2011

Demonstrasi



Saya menyertai Perhimpunan Patriot hari ini sempena membantah Perhimpunan BERSIH... Kedua-duanya adalah perhimpunan haram dan salah disisi undang-undang...  Saya tidak akan  bercerita mengenai nilai moral perbuatan itu pada coretan ini tapi lebih kepada berkongsi pengalaman baru yang tidak pernah saya duga akan melakukannya...

Kami berhadapan dengan polis FRU yang seringkali dilabel sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan...  Kami dihentak dengan perisai, dibalun dengan belantan, ditembak dengan gas pemedih mata, disembur dengan meriam air berkimia yang memedihkan serta dihambat oleh polis hingga bertempiaran lari seperti tidak cukup tanah...

Apakah satu perkataan yang dapat menyatakan pengalaman ini dengan tepat?  SERONOK...

Pelik tapi benar....  Itulah yang dirasai oleh kebanyakan yang menyertainya hari ini....  Melainkan anda melakukan provokasi melampau dan menjadi bidikan pihak polis, keseluruhan perbuatan menjurus kepada adegan kejar mengejar antara kucing dan tikus...  Yang perlu anda lakukan ialah mengenalpasti di mana lubang tikus yang perlu diterjah sewaktu FRU menghambat anda maka anda akan tertawa berdekah-dekah selepas hampir pasti tertangkap tetapi dengan bilangan anda yang lebih ramai, pihak polis akan hanya menghambat untuk menyuraikan, bukan bersungguh untuk menangkap... Sekali lagi saya ingatkan, jangan melakukan provokasi melampau dan menjadi tumpuan polis...


Memang ada yang patah kaki, terseliuh malah lebam terkena belantan polis namun aliran adrenalin yang meningkat serta merta hanya membuatkan perkara-perkara tersebut seolah-olah tidak terasa...  Gas pemedih mata juga akan membuatkan anda muntah hijau serta merta sekiranya dihidu dengan jumlah yang banyak namun kesannya tidak bertahan lama...



Apakah yang cuba saya sampaikan melalui coretan ini?  Mudah sahaja...  Saya tidak berasa keberatan untuk menyertai perhimpunan haram yang lain pada masa hadapan kerana ianya melakarkan ego yang amat besar kerana mampu berhadapan dengan keadaan sebegini yang kelihatan seperti kejam namun sebenarnya menyeronokkan...  Ikhlasnya, polis akan hanya bertindak keras sekiranya anda melakukan sesuatu diluar batasan dan membahayakan nyawa mereka dan orangramai....  Maka sesiapa yang dilayan dengan keras oleh pihak polis adalah pihak yang wajar menerimanya...  Kita perlu ingat bahawa mereka juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan batas kesabaran.

Adakah pihak pembangkang akan terus membuat perhimpunan sebegini?  Sudah pasti.... Kerana dengan pengalaman yang luas dan keseronokan yang diperolehi serta hasil politik yang terjana dari insiden 'kekejaman' polis ini sudah pasti menjadikan perhimpunan haram sebagai suatu cara mudah untuk merealisasikan cita-cita politik mereka...