Tuesday, September 14, 2010

Manakah yang lebih penting?

Manakah yang lebih penting?

Maruah diri?
Maruah keluarga?
Maruah parti?
Maruah bangsa?

pemimpin di atas pentas, rakyat dibawah memerhati dan menilai...

Kalau dilihat secara kasarnya tentulah kesemuanya penting... Tetapi apabila ianya berhubung kait antara satu sama lain maka pertimbangan secara khusus hendaklah dibuat bagi menyelamatkan semua yang tertera di atas... Sekiranya tidak dapat menyelamatkan kesemuanya maka keputusan hendaklah dibuat bagi menyelamatkan maruah yang lebih penting... Maruah yang melibatkan kepentingan ramai...

Bila ianya melibatkan isu moral, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan bermuhasabah diri... . Bertanya dengan diri sendiri sejujur-jujurnya adakah perkara tersebut benar-benar berlaku...  Sekiranya benar maka pusingan pertama dalam menyelamatkan maruah telah pun dimenangi...  Sekiranya perkara tersebut memang benar dilakukan tetapi cuba dinafikan dengan diri sendiri maka jatuhlah maruah sebagai manusia...  Mana mungkin berlaku jujur terhadap orang lain sekiranya diri sendiri boleh dibohongi!!!

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah cuba untuk menghalang atau mengurangkan impaknya terhadap orang lain terutamanya yang paling rapat dengan kita... Keluarga...  Perlukah keluarga kita menanggung aib dengan perlakuan kita...  Sekali lagi, cubaan untuk membohongi keluarga sendiri akan hanya menyebabkan kehilangan kepercayaan yang hebat apabila kebenarannya diketahui kelak...

Perkara ketiga ialah memastikan agar orang lain tidak menanggung beban akan perlakuan kita... Sekiranya kita pemimpin utama parti yang terdedah dengan penelitian rakyat maka akibatnya nanti adalah sesuatu yang amat buruk...  Isu moral bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh...  Tanggapan rakyat boleh menyebabkan parti kehilangan kepercayaan kepada keseluruhan sistem dan keutuhan parti...  Memikirkan sesuatu masalah moral itu boleh 'disapu ke bawah permaidani' adalah satu sikap yang mementingkan diri sendiri dan rakus...  Ingatlah, manakan mungkin bangkai gajah ditutup dengan daun pisang...  Baunya sahaja akan dapat menumbangkan seekor dinasor...  Dan dinasor yang dimaksudkan adalah parti keramat ini...  Dengan bau busukmu itu kamu sanggup menghancurkan sebuah parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam... 

Perkara keempat iaitu maruah bangsa, tidaklah perlu dihuraikan lagi kerana sikap mementingkan diri secara langsung membunuh kesemua kategori maruah yang disebutkan di atas...

Jadilah manusia yang berjiwa besar... Sampai bila mahu membohongi diri... membohongi keluarga... membohongi parti... dan mengkhianati bangsa Melayu?

Anda mungkin masih memasang senyum... Anda mungkin masih menebalkan muka bertemu orangramai... Anda mungkin masih berasa gah berucap sebagai pemimpin...  Namun percayalah...  Keluarga dalam keraguan...  Ahli-ahli parti dalam kemarahan...  Masyarakat dalam kesinisan...  Melihat pemimpin utama melakukan tarian jelek...  Dalam irama sumbang dan nyanyian pelik...

Segala tindakan akan diletakkan dibawah teropong...  Kedegilan akan hanya membuahkan cemuhan sehingga bergenerasi akan datang...  Jadilah sebahagian dari sejarah gemilang... Bukannya sejarah songsang yang hanya mengundang padah tak berkesudahan...

Maruah bangsa - perlu diperjuangkan setiap masa...
Maruah parti - perlu dipertahankan dengan jatidiri...
Maruah keluarga - perlu menjadi kepentingan utama...
Maruah diri?  Hanya KEEGOAN yang menjadi julangan hati...

Manakah yang lebih penting?

Monday, September 13, 2010

Salam Aidilfitri

Allahuakbar... Allahuakbar... Allahuakbar...

Alhamdulillah Ramadhan tahun ini dilalui dengan berbagai ragam dan dugaan... Namun aku bersyukur kerana ianya dapat disempurnakan dengan sesempurna yang boleh dan yang lebih manis lagi apabila kesemua anak-anakku termasuk yang berumur 7 tahun berupaya berpuasa penuh... Si ibu seperti biasa ada bercuti hehe...

Tahun ini giliran aku berhari raya di Kampung Londang, Masjid Tanah... Sejak mula perkahwinan persetujuan telah dicapai untuk menggilirkan Hari Raya di kampungku Gombak dan kampung isteriku di Melaka... Bagiku berhari raya di Melaka tidaklah menjadi masalah kerana memang rutin harianku berada di Gombak setiap hari dan bertemu ibubapaku bila masa aku hatiku tergerak, pastinya aku terpacul di pintu rumah mereka... Syukur alhamdulillah dengan kelebihan yang dikurniakan...

Lazimnya aku sekeluarga akan sampai di Kg Londang pada hari 'memantai', sehari sebelum hari raya... Tugas hakikiku tiap-tiap tahun ialah menyediakan rendang minang, hasil resipi yang aku perolehi dari kedua orangtuaku... Pada tahun-tahun awal rendangku selalu tidak menentu rasanya... Maklumlah selalunya aku jadi tukang kacau rendang sahaja di Gombak yang tiap tahun tidak kurang dari 30kg daging tempahan yang diterima... Di Melaka aku menjadi segalanya... Ke pasar membeli keperluan... Memotong daging dan rencahnya... Tukang kacau dan yang paling utama 'Head chef' untuk rendang ini... Alhamdulillah tahun ini mereka semua memberikan 5 bintang untuk rendang minangku... Isteriku seperti biasa memberikan motivasi yang lebih dengan mengatakan rendang tahun ini lebih sedap dari yang emak buat di Gombak... Hehehe...

Keadaan di Masjid Tanah memang sibuk... Hendak ke pasar terpaksa melalui kesesakan lalulintas... Hendak meletak kereta kenalah cari yang agak jauh sedikit... Yang paling malas sekali untuk dilakukan ialah beratur panjang membeli santan.... Tahun ini aku menetapkan untuk memasak 3 kg daging untuk rendang maka santan yang diperlukan ialah 3 kg juga... Campur dengan keperluan santan yang lain maka aku beli 4 kg... Tapi yang membuatkan aku lemah lutut beratur ialah kesemua pelanggan yang berada di depanku membeli lebih 5 kg tiap seorang... maka dengan rasminya waktu beratur menjadi lebih panjang... Santan aku terima selepas 1 jam menunggu... Tapi seronok juga melihat telatah beberapa pelanggan yang cuba menggunakan berbagai cara untuk 'potong Q'... Aku lihat mereka yang kenal rapat dengan penjual santan seringkali mendapat layanan khas... Siapa kata korupsi dan penyalahgunaan kuasa cuma berlaku dalam kerajaan BN..?  Di pasar pun mengamalkan kronisme dan nepotisme huhhhh...

mcm nak beli tiket wayang....

Pada malam Hari Raya suasana di Kampung Londang memang amat meriah...  Ianya mengingatkan aku kepada suasana Hari Raya di Kampung Simpang Tiga, Gombak 30 tahun yang lepas... Letupan mercun dan bungapi memenuhi suasana... Ditambah pula dengan dentuman meriam karbaid...  Memang meriah... Rumah mertuaku hanya 200 meter dari masjid Kampung Londang maka suara takbir jelas kedengaran...  Memang meruntun perasaan... Aku, isteri, anak-anak dan adikberadik ipar berdiri di luar rumah menyaksikan pertunjukkan bungapi percuma... Sedikit terkilan melihat anak-anakku tidak bermain bungapi... Walaupun Busu sanggup pergi membeli namun aku telah membuat ketetapan untuk tidak membenarkan anak-anakku bermain bungapi tahun ini... Malang tidak berbau...  Aku tidak mahu berhariraya menemani mereka di hospital...  Namun mereka cukup gembira dengan adanya modem broadband... Itulah keseronokkan anak-anak zaman millenium...

Hari Raya pertama berlangsung dengan rutin biasa tahunan... Tahun ini merupakan solat aidilfitri bersejarah kerana tengku mudaku turut serta berada di saf sebelah kiriku manakala putera mahkotaku berada disebelah kanan...  Melihatkan mereka berdua membesar dengan cepat dan dengan alunan merdu takbir hari raya membuatkan aku menjadi amat sayu...  Sesungguhnya masa berlalu begitu pantas... Namun aku bersyukur kerana setiap perkara baru yang berlaku kepada anak-anakku, berlaku di hadapanku...  Betullah bagai bait-bait dalam lagu 'Suatu hari di hari raya' dendangan M Nasir... "mungkin inilah dia kebahgiaan..."  Aku memandang mereka dan bersyukur, inilah hartaku yang paling berharga, paling tidak ternilai...  Doaku semoga mereka menjadi anak-anak yang soleh dan berjaya dalam kehidupan...

Sepert biasa jadual Hari Raya pertama merangkumi menziarahi pusara bapa mertua, ke rumah sekitar rumah mertuaku dan yang paling menyelerakan ialah meratah ayam kampung dan udang bersambal...  Hidangan unik Kampung Londang, Masjid Tanah...

Di Hari Raya kedua, selepas berhari raya di beberapa rumah saudara mara isteriku, birasku yang berasal dari Finland yang berkahwin dengan Angah bercadang untuk berbarbeku...  Rupa-rupanya kesemua bahan telah beliau beli...  Aku sebagai 'souz chef' terus menyediakan bahan-bahan untuk memerap daging dan ayam...  Siapkan bara arang...  Bermulalah aktiviti bakar membakar...  Nasib baik tahun ini Jari tidak membeli daging arnab seperti 10 tahun yang lepas...  Bila sudah disiang arnab kelihatan seperti kucing...  Akibatnya dari 2 ekor yang dibeli hanya sebelah paha arnab sahaja yang dimakan oleh Jari...  Begitulah sinonimnya kasih bangsa Melayu terhadap kucing... 

souz chef bersama tenaga buruh dari Finland hehehe... (cool Jari hehe..)
aksi makyong dengan tengku mahkota...
QC sedang menjalankan tugas... jumlah sampel diperlukan = sehingga kembung...
tengku muda sebagai food critics berkaliber... "drumstick boy punyerrrr..."
datin seri sebagai bibik sulawesi pemotong daging... i lap u lahhhh...

Selesai berbarbeku kami bersiap untuk pulang ke Kota Damansara... Persinggahan terakhir ialah ke rumah anak buah isteriku di sebuah taman perumahan di Paya Rumput, dalam laluan pulang...  Raya ketiga kami perlu berada di Kampung Simpang Tiga Gombak... Keluarga sebelahku pula menanti untuk menjamu...

Selamat Hari Raya dari kami sekaluarga... Kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat tuturkata, perbuatan dan kesalahan...  Sesungguhnya sebagai manusia kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan...

Ikhlas dari kami... Jefri, Amy, Mrule, Alia dan Dean...