Wednesday, June 15, 2011

Ajaran versi baru?

Kebelakangan ini aku mula keliru dengan apa yang berlaku khususnya dalam dunia politik...  Keliru kerana apa yang dipelajari, difahami, dipercayai dan dipraktikkan telah mula bercanggah dengan apa yang cuba dipertahankan oleh sesetengah pihak...  Waktu dahulu kita diajar agar menolak pemimpin yang mempunyai akhlak yang buruk tetapi kini ramai pula yang mempertahankan pemimpin-pemimpin sebegini walaupun telah ditunjukkan dengan bukti yang terang lagi nyata...  Lebih pelik lagi apabila pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan berlagak seperti tidak bersalah dan terus ingin memegang jawatan mereka tanpa perasaan segan silu samada kepada penyokong mahu pun rakyat sekeliling...

Apakah nilai-nilai Islam yang diterapkan kepada umat Islam di negara ini gagal dihayati?  Apakah dengan mendiamkan sesuatu kemungkaran tersebut akan membuatkan kita semua menuju kearah masyarakat madani yang seringkali dilaung-laungkan pada suatu masa dahulu?

Lebih mengelirukan lagi sekarang ini si pelaku durjana tidak pula diadili oleh masyarakat tetapi orang yang membongkar kemungkaran dihambat dan dipersalahkan...  Apa yang dikhuatiri fenomena ini akan hanya membuatkan usaha-usaha untuk membenteras kemungkaran menjadi lebih sukar pada masa akan datang...  Jika pemimpin besar tidak dihukum atas kesalahan yang nyata terpapar dengan gambar dan video, adakah adil bagi pihak berwajib agama pergi mengetuk bilik-bilik hotel bagi mencegah kegiatan maksiat?  Yang telah berbukti tidak diendahkan malah dipertahankan manakala yang baru disyaki berada dibilik tertutup diheret ke mahkamah syariah?

Inilah mesej yang sedang diberikan kepada rakyat...  Inilah ajaran baru yang sedang dididik kepada masyarakat secara kita sedar atau tidak...  Yakinlah bahawa kita semua bertanggungjawab dengan apa yang sedang berlaku sekarang ini...  Yang sedang berdiam adalah insan yang selemah-lemah iman... Yang mempertahankannya adalah manusia yang sedang bersubahat secara terang-terangan...  Yang menyokongnya pasti akan mendapat laknat...

Berpolitik ada batasannya... Jangan sampai hukum-hukum agama diselewengkan demi untuk mencapai matlamat yang menghalalkan cara...  Sekiranya perjuangan yang dibawa itu benar berlandaskan agama Islam seperti yang dilaung-laungkan maka bertindaklah seperti pejuang agama sebenar... Inilah akibatnya apabila agama cuba digadaikan dalam politik...  Akhirnya nanti segala apa yang kita pelajari sejak dari kecil hingga dewasa hanya menjadi satu rutin kehidupan yang boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian sesetengah pihak...

Islam itu lengkap... Sesuai untuk semua zaman... Bukan untuk disesuaikan dengan keadaan-keadaan tertentu untuk orang-orang yang berkepentingan...  Semoga kita semua diberikan hidayah dalam mengharungi kehidupan yang makin mencabar ini...

No comments:

Post a Comment