Thursday, October 14, 2010

Mat Rempit vs Bas Rempit

Zaman belasan tahun dahulu tiada lagi istilah mat rempit... Kami semua mat motor memang suka ke sana ke mari beramai-ramai... Suka pergi mandi sungai di Ulu Yam, suka berkonvoi ke Port Dickson, suka naik ke Genting Highland dan pada malam minggu suka lepak di Dataran Merdeka minum teh tarik halia sambil berborak-borak... Sudah pastinya ada antara kami yang berdarah muda yang akan 'merempit' barang satu dua laluan melepaskan testosteron... Limpahan adrenelin dari darah muda...  Jangan dinafikan kita kesemuanya pernah mengalami zaman muda... Cuma kaedah 'melepaskannya' sahaja yang berbeza...

Zaman sekarang pun tak kurang bezanya... Motosikal kecil sebagai kenderaan mampu milik masih menjadi pilihan anak-anak muda... Hujung minggu digunakan untuk melepak sambil melepaskan tekanan hidup yang semakin mencengkam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal jauh dari keluarga...

Apa isunya di sini?  Tiap-tiap hujung minggu dalam Berita jam 8 malam kita akan disogokkan dengan cerita pihak polis dan JPJ menghambat mat-mat motor... Dapat dilihat dengan jelas bagaimana mat-mat motor lari lintang pukang dan dalam beberapa insiden cuba meloloskan diri dari pihak berkuasa... Ada juga yang dibaling dengan kon dan kayu belantan...  Ramai yang lari itu bukanlah kerana mereka merempit tetapi mereka tidak mahu melalui proses ditahan oleh polis...

Aku bukannya menyokong mat rempit tapi simpati dengan mat-mat motor yang seringkali menjadi mangsa tudingan...  Bila heboh tentang mat rempit maka pihak berkuasa mengambil jalan mudah menahan kesemua mat-mat motor... Proses penahanan dijalankan amatlah menyakitkan hati... Hanya kerana mereka ini insan-insan kecil yang berusia remaja maka pihak berkuasa sewenang-wenangnya mengabaikan hak-hak mereka, melayan mereka seolah-olah mereka ini penjenayah...  Menolak motor berbatu-batu jauhnya pada dinihari bukanlah sesuatu yang menyeronokkan... Ianya hanya menyemaikan perasaan kemarahan dan menyemarakkan kebencian dalam jiwa remaja yang akhirnya akan membuahkan keganasan...  Kalau beranggapan bahawa memaksa mereka berbuat demikian sekadar untuk mengurangkan bilangan mat-mat motor melepak maka ternyatalah itu satu pemikiran sempit yang bungkam...  Kita dibesarkan dalam keadaan berdendam kepada pihak berkuasa...  Bukanlah mudah untuk mengikis perasaan ini...  Sebab itulah ramai yang skeptikal dan enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa...

Bukan kesemua yang menunggang motor kecil itu mat rempit!

Apa yang dapat dilihat adalah kegagalan pihak-pihak berkenaan terutamanya ahli-ahli politik memahami situasi sebenar penunggang-penunggang motor...  Mat-mat rempit yang berlumba secara berbahaya adalah amat kecil bilangannya...  Apa yang dapat dilihat dengan jelas pihak berkuasa gagal mengenalpasti mereka ini...  Ianya bukanlah satu tugas yang sukar...  Dekati mereka dan anda akan tahu siapakah kaki rempit sebenarnya...

Berapakah angka kematian yang melibatkan mereka yang tidak bersalah dalam kejadian merempit?  Selain dari penunggang itu sendiri yang terlibat dalam kemalangan maut angka kematian yang melibatkan orang awam adalah sangat kecil... 

Untuk mengatasi masalah mat rempit secara total bukanlah mudah tetapi untuk mengurangkan aktiviti mat rempit ini banyak kaedah yang boleh digunakan... Salah satu darinya ialah dengan membina lebih banyak litar mampuguna yang boleh dimanfaatkan oleh mat rempit sekaligus dapat memajukan lagi sukan permotoran di Malaysia...  Rata-rata kesemua jaguh yang terlibat dalam sukan permotoran di Malaysia dilahirkan dari perlumbaan jalanan oleh mat rempit...

Malangnya sekarang ini pun dengan pengurusan baru Litar Sepang seumpama ingin melepaskan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat... Mulai Januari 2010 yang lalu yuran trek dinaikkan dari RM70 kepada RM100 untuk kegunaan trek selama 2 jam... Mampukan pemilik motor kecil membayarnya?  Baru-baru ini jadual 'track day' juga telah dirombak dengan mengenepikan kategori motosikal bawah 400 cc... Dimanakah mereka hendak berlumba?  Padang dan stadium bolasepak dibina dengan begitu banyak dengan belanja ratusan juta ringgit...  Adakah peminat sukan bermotor bukan pembayar cukai? 

Bas rempit... 

Ini masalah yang lebih kritikal... Ramai yang tahu dan melihat dengan sendiri bagaimana bas-bas yang berada di jalanraya 'merempit' untuk sampai ke destinasi masing-masing...  Bila berlakunya kemalangan skala besar maka barulah pihak berkuasa menggelabah memberikan kenyataan yang 'melepaskan batuk di tangga'...  Padahal kita dapat melihat sendiri bagaimana pihak peronda lebuhraya menutup sebelah mata mereka bila melihat bas-bas ini memecut di lebuhraya... Adakah mereka merasakan fenomena bas merempit ini tidak seteruk motor merempit?

Sekiranya pihak berkuasa menyedari dengan ikhlas masalah bas merempit ini sama bahayanya dengan motor merempit adalah dicadangkan supaya operasi yang sama atau lebih kerap diadakan bagi membenteras gejala ini...  Dengan jumlah kakitangan yang sama seperti ketika membenteras mat rempit digunakan kita yakin pemandu dan pengusaha bas akan lebih bertanggungjawab dalam operasi masing-masing...

Apakah tanggapan orangramai terhadap kelemahan pihak berkuasa menangani masalah bas rempit ini?  Sudah banyak kedengaran bahawa syarikat-syarikat bas ini dipunyai atau mempunyai hubungan dengan pemimpin atasan... Sebab itulah masalah mat rempit dihambat habis-habisan kerana mereka hanyalah insan kecil yang tidak punya kuasa...  Masalah pengurusan bas dan penguatkuasaan terhadap mereka tidak mungkin dapat diambil tindakan kerana campurtangan tangan-tangan ghaib...

Tapi sedarlah bahawa insan-insan kecil yang bilangannya lebih ramai, yang telah disemaikan kebencian terhadap pihak berkuasa kerajaan itu adalah kuasa besar yang bakal menentukan kuasa dan tampuk pemerintahan akan datang...  Rakyat menilai serta membuat andaian... Dalam era maklumat dan telekomunikasi tanpa had dan sempadan ini membolehkan segala berita dan kelemahan disebarkan dengan pantas...  Pihak berkuasa yang mengamalkan 'double standard' dalam penguatkuasaan undang-undang perlu segera memperbetulkan keadaan...  Jangan cuma bercakap apabila darah membasahi jalanraya...

Adakah kedua-dua masalah ini akan terus kedengaran?

Selagi kerajaan gagal mendekati golongan remaja bermotosikal dengan pendekatan berhemah dan perancangan bersepadu aku yakin gejala mat rempit akan terus menghambat kita...

Selagi etika dan pengurusan syarikat-syarikat bas tidak diawasi dengan teliti dikhuatiri kejadian yang meragut lebih banyak nyawa akan tetap berlaku...

Motor dan bas... Kedua-duanya merempit di jalanraya yang kita sama lalui... Cuma penguatkuasaan undang-undang dikastakan...  Yang tetap menjadi mangsa adalah mereka yang tidak berdosa...

1 comment:

  1. Suruh je YB, Tan Sri, Dato' tu semua naik motor n bas tanpa eskot.. Jgn plak sibuk nk bgtau pangkat kat diri n nak berbalas pantun jer kat Dewan Rakyat yg mulia tu... Cakap mmg mudah, tetapkan peraturan pun mudah... Tapi bila kena anak beranak n hidung sendiri pandai plak cover... Pemimpin mcm ni tak layak dijunjung.. Penguatkuasaan sebenarnya betul cuma cara dilaksanakan takde budi bahasa... Sebabnya nak mudah... Janji kerja jalan, inila kata orang niat tak menghalalkan cara...

    ReplyDelete