Bila sebut 'saman ekor' sahaja ramai yang akan cepat melenting baik orangramai mahupun pihak berkuasa... Masalah kronik ini sering cuba diredakan ributnya tiap kali ianya dibangkitkan... Buat masa sekarang, dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan sehingga Februari ini membuatkan isu ini seolah-olah telah selesai... Datang Februari nanti akan riuhlah semula semua pihak mempertikaikan dan mempertahankan....
Ada 2 isu yang perlu diambil perhatian:
1. Pentingnya penguatkuasaan undang-undang dijalankan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Saman ekor berkaitan kelajuan kenderaan diberikan berdasarkan faktor mengelakkan kesesakan lalulintas serta mengurangkan penggunaan penguatkuasa... Sikap kebanyakan rakyat Malaysia yang suka memandu dengan laju seperti tidak dapat dibendung dan dididik... Semua orang mahu cepat sampai ke destinasi... Anehnya dalam hampir keseluruhan insiden bukanlah atas sebab perlu memenuhi ketepatan masa untuk sebarang majlis... Memandu laju hanya kerana tabiat!
2. Cara penyampaian saman ekor yang tidak professional.
Ramai yang terkejut apabila mengetahui begitu banyak saman ekor dikeluarkan keatas mereka hanya pada waktu mereka ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan... Sudah pastilah orangramai akan melenting kerana pada waktu itulah begitu banyak wang yang dibelanjakan untuk membayar perlindungan insurans (yang dilihat langsung tidak dikawal oleh kerajaan menyebabkan syarikat insurans mengenakan premium yang tinggi serta syarat-syarat yang tidak masuk akal) dan membayar cukai jalan... Penambahan perbelanjaan untuk membayar saman sudah tentulah sesuatu yang tidak tepat pada waktunya...
Tidak adakah cara lain yang boleh dilakukan agar kedua-dua perkara di atas dapat dilaksanakan dengan lancar?
Adalah dicadangkan agar kerajaan dapat memperbaiki cara penyampaian saman ekor... Memang ramai yang membentak marah di kaunter apabila tidak boleh memperbaharui lesen dan alasan tidak pernah menerima saman ekor adalah alasan paling popular dan mudah walaupun setiap keping saman diterima dan tersimpan rapi di rumah...
1. Oleh kerana sewaktu memperbaharui lesen adalah 'waktu pasti' orangramai mengetahui mereka mempunyai saman tertunggak maka dicadangkan agar kerajaan tetap membenarkan lesen diperbaharui tetapi dengan tempoh hanya 3 bulan bagi memberikan masa kepada orangramai menyelesaikannya... Menahan dari lesen diperbaharui akan hanya menimbulkan masalah pelanggaran undang-undang yang lain iaitu memandu tanpa lesen atau cukai jalan.
2. Saman ekor yang dihantar wajib disertai dengan bukti jelas bergambar... Adalah tidak adil sama sekali menuduh seseorang melakukan kesalahan tanpa bukti yang kukuh... Memaksa orangramai membeli salinan gambar tersebut adalah satu bentuk kezaliman kerana orangramai perlu membayar RM10 itu tujuan tersebut... Pihak polis juga perlu mengeluarkan salinan saman bergambar tersebut di kaunter-kaunter perkhidmatan tetapi hanya terhad kepada salinan pertama sahaja dan perlu direkodkan sebagai telah disempurnakan penyampaiannya... Salinan seterusnya bolehlah dikenakan bayaran...
Mengenakan peraturan-peraturan ketat tanpa penyelesaian mudah akan hanya menimbulkan kontrovesi dan bantahan... Pihak berkuasa perlu memahami dan memperbaiki mutu perkhidmatan secara proaktif dan memenuhi kehendak semasa... Zaman rakyat berdiam dan menerima bulat-bulat apa yang disogokkan telah lama berlalu... Generasi sekarang sudah faham akan hak-hak mereka dan bukan lagi generasi yang takut kepada pihak berkuasa...
Ada lagi yang tidak selesai...
Orangramai terutamanya pemandu-pemandu yang mempunyai tabiat memandu dengan laju wajib juga menerima hakikat bahawa mereka melanggar undang-undang dan perlu dididik dengan saman tersebut...
Bayar tetap kena bayar!
Jangan fikir dengan menjadikan saman ekor ini satu isu politik untuk menekan kerajaan maka anda bebas melakukan apa sahaja...