Saturday, May 7, 2011

Masa dan tidur.

Perlukah kita menepati masa?



Banyak peribahasa yang menjurus kepada pentingnya masa... Saya secara peribadi percaya penuh kepada ungkapan "Kalau kita tidak dapat mengurus masa kita sendiri maka harus bersedia untuk menerima kegagalan"...  Mana tidaknya...  Hanya kita sendiri yang boleh mengawal masa kita, sekiranya itu pun tidak mampu diurus maka jangan kita bermimpi untuk menguruskan orang lain atau mana-mana organisasi...

Early bird catches the worm...  Rezeki akan hampir kepada orang yang bangun awal dan bukannya kepada "muka bantal" yang seringkali merasakan dirinya kekurangan tidur dan berjaya "menipu" dirinya untuk terus tidur sepuas-puasnya...  Lainlah sekiranya punca pendapatan kita memerlukan untuk kita bekerja (bukan berjaga ikut kawan-kawan) pada waktu malam...  Saya melihat fenomena merasakan "rugi" sekiranya tidak dapat tidur dengan puas akan hanya melemahkan semangat seseorang....  Itu belum diambilkira terpaksa membuat berbagai alasan untuk melindungi tabiat ketagihan tidur kita dari diketahui oleh orang lain khususnya majikan atau pelanggan...  Itu belum dikira pembohongan yang terpaksa dicipta sebagai alasan kerja yang gagal disempurnakan...

Apakah implikasinya apabila kita tidak menepati masa?  Terlalu banyak...  Antara akibat besar yang akan ditanggung ialah hilangnya rasa kepercayaan pihak lain kepada kemampuan kita dalam apa bidang jua pun... Orang akan berkata di belakang kita dan reputasi akan terjejas dengan teruk...  Perkara kedua yang akan berlaku ialah hilangnya peluang-peluang yang mungkin akan menanti kita pada masa hadapan...  Saya secara peribadi lebih berminat untuk mencari rakan kongsi atau memberikan sesuatu peluang kepada individu yang boleh diyakini ketepatan beliau mematuhi jangka waktu....  Kita semua dikawal dengan "dateline"...  Sekiranya "dateline" kita bergantung kepada orang lain mematuhi "dateline" yang dipersetujui maka seseorang yang mementingkan ketepatan masa sudah pasti menjadi keutamaan kita dalam menjalinkan urusan...  Mana mungkin kita menerima akibat dan dipersalahkan oleh pelanggan sekiranya kegagalan itu disebabkan oleh orang lain yang memang sengaja gagal mengawal waktunya...

Orang yang gagal mengawal masa sering merasakan pihak lain perlu menunggu mereka dan kelewatan mereka perlu diterima dan diadaptasikan....  Tapi percayalah, pihak lain akan hanya berurusan hanya kerana tiada pilihan lain atau mungkin telah terikat atas sebab-sebab tertentu...  Jika diberi pilihan lain maka orang yang selalu lewat ini akan ditinggalkan dan peluang akan diberikan kepada mereka yang lebih menghargai masa orang lain....

Melalui pengalaman, orang yang gagal mengawal masanya akan sering gagal menyiapkan kerja atau projek yang diperolehinya seterusnya menghadapi begitu banyak masalah yang pasti timbul....  Seringkali juga suka bertangguh dalam banyak hal... Akhirnya kerja akan dilihat bertimpa-timpa dan merasakan masa tidak mencukupi...  

Ingatlah bahawa "Penantian itu adalah satu penyeksaan"....  Wajarkah kita memperlakukan orang lain hanya kerana kegagalan kita menepati waktu?  

Kesabaran seseorang itu ada batasannya...  Jangan kita menghukum orang yang berusaha untuk menepati masa dengan membuat beliau tertunggu-tunggu...  Mulut mungkin tersenyum tapi hati siapa yang tahu?  Separuh dari "mood" hilang hanya disebabkan kelewatan kita...

Ubahlah cara berfikir...  Kalau kita ingin sampai cepat maka keluarlah awal...  Jangan salahkan kesesakan lalulintas atau perkara-perkara lain bila kita terlewat keluar dari rumah...  Jika ingin sesuatu usaha itu berjaya maka janganlah bertangguh hingga ke saat akhir untuk menyiapkannya...  Siapkan awal lalu kita boleh merasa tenang atau tagguhkan kerja sehingga orang lain marah kepada kita...  Pilihan di tangan kita...  Masa kita cuma kita sendiri yang dapat mengawalnya.... 


"Masih belum terlambat lagi untuk menjadi orang terawal"


Sunday, January 23, 2011

RASIS

Benarkah bila bercakap mengenai semangat keMelayuan kita berfikir secara rasis?

Bangsa yang jelas bersifat rasis ialah bangsa China... Dimana-mana di dunia kita akan melihat mereka membentuk kelompok-kelompok bagi menjaga kepentingan bangsa mereka... Di Malaysia sendiri kita dapat merasai bagaimana mereka menguasai dunia perniagaan sehingga terlalu sukar bagi bangsa lain bersaing dan membentuk kerjasama dengan mereka... Untungnya di Malaysia dengan hak keistimewaan orang-orang Melayu maka mahu tak mahu mereka terpaksa membentuk kerjasama dengan bangsa Melayu... Itu pun setelah mereka berpuashati ianya akan banyak memberi kelebihan dan manfaat ke pihak mereka...

Bangsa atau agama? Sudah pastilah dalam hati setiap orang Melayu agama Islam menjadi keutamaan dalam semua hal... Keengkaran bukan bermaksud penolakan... Malasnya seorang Melayu mendirikan solat tidak bermaksud beliau menolak rukun Islam... Memilih untuk tidak menutup aurat bukan bermaksud seorang Melayu itu mengenepikan hukum Allah... Mereka sedar dan faham akan dosa-dosanya dan redha dengan hukuman yang akan diterima kelak... Realitinya mereka masih Islam...

Salahkah Melayu mempertahankan bangsa sendiri?  Kukuhnya bangsa Melayu bermakna akan bertambah kukuhlah agama Islam di Malaysia ini... Contoh paling nyata ialah di negeri Selangor... Di zaman pemerintahan Barisan Nasional tiap-tiap tahun akan ada surau dan masjid baru dibina dan yang sedia ada  diselenggara dengan baik dengan peruntukan kerajaan negeri... Ini fakta yang tidak boleh langsung dipertikaikan... Jelas kelihatan parti komponen lain dalam BN tidak mempersoalkan langsung peruntukan untuk agama Islam... Lain pula senarionya sekarang... Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tiada langsung surau atau masjid baru dibina... Jawatankuasa surau dan masjid juga banyak memohon sumbangan jemaah bagi aktiviti dan penyelenggaraan... Laungan "siapa pun jadi kerajaan akan menyediakan perkara yang sama" tidak menjadi realiti bila Selangor ditadbir oleh PR yang ditunjangi juga oleh PAS, parti yang kononnya mendakwa mereka sahaja yang memperjuangkan Islam di Malaysia... Realiti lain di kampung saya di Gombak ramai yang mengadu bantuan zakat dari kerajaan negeri yang selama ini diterima telah dihentikan... Pembelaan untuk rakyat Islam miskin di negeri Selangor telah tergugat... Adakah apabila PR mengambilalih kerajaan Persekutuan kelak orang-orang Melayu dan agama Islam akan mendapat pembelaan yang lebih baik atau menjadi lebih teruk seperti di negeri Selangor?

Yang memisahkan Melayu dan Islam ini cuma retorik politik... Cukup ramai yang berlagak hebat kononnya mereka lebih Islam dari Melayu dan sanggup mengorbankan bangsa Melayu hanya kerana ingin mendapat kelebihan politik politin namun realiti kehidupan mereka masih lagi menebal sikap keMelayuan... Mungkin mereka tidak sedar sikap hipokrit ini akan hanya "memakan" diri dan generasi masa depan kerana usaha melemahkan bangsa Melayu sekarang akan mendatangkan implikasi yang amat besar untuk masa hadapan...

HIDUP MELAYU... HIDUP ISLAM...

Wednesday, October 20, 2010

Saman ekor

Bila sebut 'saman ekor' sahaja ramai yang akan cepat melenting baik orangramai mahupun pihak berkuasa... Masalah kronik ini sering cuba diredakan ributnya tiap kali ianya dibangkitkan...  Buat masa sekarang, dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan sehingga Februari ini membuatkan isu ini seolah-olah telah selesai...  Datang Februari nanti akan riuhlah semula semua pihak mempertikaikan dan mempertahankan....

Ada 2 isu yang perlu diambil perhatian:

1.   Pentingnya penguatkuasaan undang-undang dijalankan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.  
Saman ekor berkaitan kelajuan kenderaan diberikan berdasarkan faktor mengelakkan kesesakan lalulintas serta mengurangkan penggunaan penguatkuasa...  Sikap kebanyakan rakyat Malaysia yang suka memandu dengan laju seperti tidak dapat dibendung dan dididik...  Semua orang mahu cepat sampai ke destinasi...  Anehnya dalam hampir keseluruhan insiden bukanlah atas sebab perlu memenuhi ketepatan masa untuk sebarang majlis...  Memandu laju hanya kerana tabiat!

2.   Cara penyampaian saman ekor yang tidak professional.
Ramai yang terkejut apabila mengetahui begitu banyak saman ekor dikeluarkan keatas mereka hanya pada waktu mereka ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan...  Sudah pastilah orangramai akan melenting kerana pada waktu itulah begitu banyak wang yang dibelanjakan untuk membayar perlindungan insurans (yang dilihat langsung tidak dikawal oleh kerajaan menyebabkan syarikat insurans mengenakan premium yang tinggi serta syarat-syarat yang tidak masuk akal) dan membayar cukai jalan...  Penambahan perbelanjaan untuk membayar saman sudah tentulah sesuatu yang tidak tepat pada waktunya...

Tidak adakah cara lain yang boleh dilakukan agar kedua-dua perkara di atas dapat dilaksanakan dengan lancar?

Adalah dicadangkan agar kerajaan dapat memperbaiki cara penyampaian saman ekor...  Memang ramai yang membentak marah di kaunter apabila tidak boleh memperbaharui lesen dan alasan tidak pernah menerima saman ekor adalah alasan paling popular dan mudah walaupun setiap keping saman diterima dan tersimpan rapi di rumah...

1.   Oleh kerana sewaktu memperbaharui lesen adalah 'waktu pasti' orangramai mengetahui mereka mempunyai saman tertunggak maka dicadangkan agar kerajaan tetap membenarkan lesen diperbaharui tetapi dengan tempoh hanya 3 bulan bagi memberikan masa kepada orangramai menyelesaikannya... Menahan dari lesen diperbaharui akan hanya menimbulkan masalah pelanggaran undang-undang yang lain iaitu memandu tanpa lesen atau cukai jalan.

2.   Saman ekor yang dihantar wajib disertai dengan bukti jelas bergambar...  Adalah tidak adil sama sekali menuduh seseorang melakukan kesalahan  tanpa bukti yang kukuh...  Memaksa orangramai membeli salinan gambar tersebut adalah satu bentuk kezaliman kerana orangramai perlu membayar RM10 itu tujuan tersebut...  Pihak polis juga perlu mengeluarkan salinan saman bergambar tersebut di kaunter-kaunter perkhidmatan tetapi hanya terhad kepada salinan pertama sahaja dan perlu direkodkan sebagai telah disempurnakan penyampaiannya...  Salinan seterusnya bolehlah dikenakan bayaran...

Mengenakan peraturan-peraturan ketat tanpa penyelesaian mudah akan hanya menimbulkan kontrovesi dan bantahan...  Pihak berkuasa perlu memahami dan memperbaiki mutu perkhidmatan secara proaktif dan memenuhi kehendak semasa...  Zaman rakyat berdiam dan menerima bulat-bulat apa yang disogokkan telah lama berlalu...  Generasi sekarang sudah faham akan hak-hak mereka dan bukan lagi generasi yang takut kepada pihak berkuasa...

Ada lagi yang tidak selesai...

Orangramai terutamanya pemandu-pemandu yang mempunyai tabiat memandu dengan laju wajib juga menerima hakikat bahawa mereka melanggar undang-undang dan perlu dididik dengan saman tersebut...  

Bayar tetap kena bayar!

Jangan fikir dengan menjadikan saman ekor ini satu isu politik untuk menekan kerajaan maka anda bebas melakukan apa sahaja...

Thursday, October 14, 2010

Mat Rempit vs Bas Rempit

Zaman belasan tahun dahulu tiada lagi istilah mat rempit... Kami semua mat motor memang suka ke sana ke mari beramai-ramai... Suka pergi mandi sungai di Ulu Yam, suka berkonvoi ke Port Dickson, suka naik ke Genting Highland dan pada malam minggu suka lepak di Dataran Merdeka minum teh tarik halia sambil berborak-borak... Sudah pastinya ada antara kami yang berdarah muda yang akan 'merempit' barang satu dua laluan melepaskan testosteron... Limpahan adrenelin dari darah muda...  Jangan dinafikan kita kesemuanya pernah mengalami zaman muda... Cuma kaedah 'melepaskannya' sahaja yang berbeza...

Zaman sekarang pun tak kurang bezanya... Motosikal kecil sebagai kenderaan mampu milik masih menjadi pilihan anak-anak muda... Hujung minggu digunakan untuk melepak sambil melepaskan tekanan hidup yang semakin mencengkam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal jauh dari keluarga...

Apa isunya di sini?  Tiap-tiap hujung minggu dalam Berita jam 8 malam kita akan disogokkan dengan cerita pihak polis dan JPJ menghambat mat-mat motor... Dapat dilihat dengan jelas bagaimana mat-mat motor lari lintang pukang dan dalam beberapa insiden cuba meloloskan diri dari pihak berkuasa... Ada juga yang dibaling dengan kon dan kayu belantan...  Ramai yang lari itu bukanlah kerana mereka merempit tetapi mereka tidak mahu melalui proses ditahan oleh polis...

Aku bukannya menyokong mat rempit tapi simpati dengan mat-mat motor yang seringkali menjadi mangsa tudingan...  Bila heboh tentang mat rempit maka pihak berkuasa mengambil jalan mudah menahan kesemua mat-mat motor... Proses penahanan dijalankan amatlah menyakitkan hati... Hanya kerana mereka ini insan-insan kecil yang berusia remaja maka pihak berkuasa sewenang-wenangnya mengabaikan hak-hak mereka, melayan mereka seolah-olah mereka ini penjenayah...  Menolak motor berbatu-batu jauhnya pada dinihari bukanlah sesuatu yang menyeronokkan... Ianya hanya menyemaikan perasaan kemarahan dan menyemarakkan kebencian dalam jiwa remaja yang akhirnya akan membuahkan keganasan...  Kalau beranggapan bahawa memaksa mereka berbuat demikian sekadar untuk mengurangkan bilangan mat-mat motor melepak maka ternyatalah itu satu pemikiran sempit yang bungkam...  Kita dibesarkan dalam keadaan berdendam kepada pihak berkuasa...  Bukanlah mudah untuk mengikis perasaan ini...  Sebab itulah ramai yang skeptikal dan enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa...

Bukan kesemua yang menunggang motor kecil itu mat rempit!

Apa yang dapat dilihat adalah kegagalan pihak-pihak berkenaan terutamanya ahli-ahli politik memahami situasi sebenar penunggang-penunggang motor...  Mat-mat rempit yang berlumba secara berbahaya adalah amat kecil bilangannya...  Apa yang dapat dilihat dengan jelas pihak berkuasa gagal mengenalpasti mereka ini...  Ianya bukanlah satu tugas yang sukar...  Dekati mereka dan anda akan tahu siapakah kaki rempit sebenarnya...

Berapakah angka kematian yang melibatkan mereka yang tidak bersalah dalam kejadian merempit?  Selain dari penunggang itu sendiri yang terlibat dalam kemalangan maut angka kematian yang melibatkan orang awam adalah sangat kecil... 

Untuk mengatasi masalah mat rempit secara total bukanlah mudah tetapi untuk mengurangkan aktiviti mat rempit ini banyak kaedah yang boleh digunakan... Salah satu darinya ialah dengan membina lebih banyak litar mampuguna yang boleh dimanfaatkan oleh mat rempit sekaligus dapat memajukan lagi sukan permotoran di Malaysia...  Rata-rata kesemua jaguh yang terlibat dalam sukan permotoran di Malaysia dilahirkan dari perlumbaan jalanan oleh mat rempit...

Malangnya sekarang ini pun dengan pengurusan baru Litar Sepang seumpama ingin melepaskan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat... Mulai Januari 2010 yang lalu yuran trek dinaikkan dari RM70 kepada RM100 untuk kegunaan trek selama 2 jam... Mampukan pemilik motor kecil membayarnya?  Baru-baru ini jadual 'track day' juga telah dirombak dengan mengenepikan kategori motosikal bawah 400 cc... Dimanakah mereka hendak berlumba?  Padang dan stadium bolasepak dibina dengan begitu banyak dengan belanja ratusan juta ringgit...  Adakah peminat sukan bermotor bukan pembayar cukai? 

Bas rempit... 

Ini masalah yang lebih kritikal... Ramai yang tahu dan melihat dengan sendiri bagaimana bas-bas yang berada di jalanraya 'merempit' untuk sampai ke destinasi masing-masing...  Bila berlakunya kemalangan skala besar maka barulah pihak berkuasa menggelabah memberikan kenyataan yang 'melepaskan batuk di tangga'...  Padahal kita dapat melihat sendiri bagaimana pihak peronda lebuhraya menutup sebelah mata mereka bila melihat bas-bas ini memecut di lebuhraya... Adakah mereka merasakan fenomena bas merempit ini tidak seteruk motor merempit?

Sekiranya pihak berkuasa menyedari dengan ikhlas masalah bas merempit ini sama bahayanya dengan motor merempit adalah dicadangkan supaya operasi yang sama atau lebih kerap diadakan bagi membenteras gejala ini...  Dengan jumlah kakitangan yang sama seperti ketika membenteras mat rempit digunakan kita yakin pemandu dan pengusaha bas akan lebih bertanggungjawab dalam operasi masing-masing...

Apakah tanggapan orangramai terhadap kelemahan pihak berkuasa menangani masalah bas rempit ini?  Sudah banyak kedengaran bahawa syarikat-syarikat bas ini dipunyai atau mempunyai hubungan dengan pemimpin atasan... Sebab itulah masalah mat rempit dihambat habis-habisan kerana mereka hanyalah insan kecil yang tidak punya kuasa...  Masalah pengurusan bas dan penguatkuasaan terhadap mereka tidak mungkin dapat diambil tindakan kerana campurtangan tangan-tangan ghaib...

Tapi sedarlah bahawa insan-insan kecil yang bilangannya lebih ramai, yang telah disemaikan kebencian terhadap pihak berkuasa kerajaan itu adalah kuasa besar yang bakal menentukan kuasa dan tampuk pemerintahan akan datang...  Rakyat menilai serta membuat andaian... Dalam era maklumat dan telekomunikasi tanpa had dan sempadan ini membolehkan segala berita dan kelemahan disebarkan dengan pantas...  Pihak berkuasa yang mengamalkan 'double standard' dalam penguatkuasaan undang-undang perlu segera memperbetulkan keadaan...  Jangan cuma bercakap apabila darah membasahi jalanraya...

Adakah kedua-dua masalah ini akan terus kedengaran?

Selagi kerajaan gagal mendekati golongan remaja bermotosikal dengan pendekatan berhemah dan perancangan bersepadu aku yakin gejala mat rempit akan terus menghambat kita...

Selagi etika dan pengurusan syarikat-syarikat bas tidak diawasi dengan teliti dikhuatiri kejadian yang meragut lebih banyak nyawa akan tetap berlaku...

Motor dan bas... Kedua-duanya merempit di jalanraya yang kita sama lalui... Cuma penguatkuasaan undang-undang dikastakan...  Yang tetap menjadi mangsa adalah mereka yang tidak berdosa...

Tuesday, September 14, 2010

Manakah yang lebih penting?

Manakah yang lebih penting?

Maruah diri?
Maruah keluarga?
Maruah parti?
Maruah bangsa?

pemimpin di atas pentas, rakyat dibawah memerhati dan menilai...

Kalau dilihat secara kasarnya tentulah kesemuanya penting... Tetapi apabila ianya berhubung kait antara satu sama lain maka pertimbangan secara khusus hendaklah dibuat bagi menyelamatkan semua yang tertera di atas... Sekiranya tidak dapat menyelamatkan kesemuanya maka keputusan hendaklah dibuat bagi menyelamatkan maruah yang lebih penting... Maruah yang melibatkan kepentingan ramai...

Bila ianya melibatkan isu moral, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan bermuhasabah diri... . Bertanya dengan diri sendiri sejujur-jujurnya adakah perkara tersebut benar-benar berlaku...  Sekiranya benar maka pusingan pertama dalam menyelamatkan maruah telah pun dimenangi...  Sekiranya perkara tersebut memang benar dilakukan tetapi cuba dinafikan dengan diri sendiri maka jatuhlah maruah sebagai manusia...  Mana mungkin berlaku jujur terhadap orang lain sekiranya diri sendiri boleh dibohongi!!!

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah cuba untuk menghalang atau mengurangkan impaknya terhadap orang lain terutamanya yang paling rapat dengan kita... Keluarga...  Perlukah keluarga kita menanggung aib dengan perlakuan kita...  Sekali lagi, cubaan untuk membohongi keluarga sendiri akan hanya menyebabkan kehilangan kepercayaan yang hebat apabila kebenarannya diketahui kelak...

Perkara ketiga ialah memastikan agar orang lain tidak menanggung beban akan perlakuan kita... Sekiranya kita pemimpin utama parti yang terdedah dengan penelitian rakyat maka akibatnya nanti adalah sesuatu yang amat buruk...  Isu moral bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh...  Tanggapan rakyat boleh menyebabkan parti kehilangan kepercayaan kepada keseluruhan sistem dan keutuhan parti...  Memikirkan sesuatu masalah moral itu boleh 'disapu ke bawah permaidani' adalah satu sikap yang mementingkan diri sendiri dan rakus...  Ingatlah, manakan mungkin bangkai gajah ditutup dengan daun pisang...  Baunya sahaja akan dapat menumbangkan seekor dinasor...  Dan dinasor yang dimaksudkan adalah parti keramat ini...  Dengan bau busukmu itu kamu sanggup menghancurkan sebuah parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam... 

Perkara keempat iaitu maruah bangsa, tidaklah perlu dihuraikan lagi kerana sikap mementingkan diri secara langsung membunuh kesemua kategori maruah yang disebutkan di atas...

Jadilah manusia yang berjiwa besar... Sampai bila mahu membohongi diri... membohongi keluarga... membohongi parti... dan mengkhianati bangsa Melayu?

Anda mungkin masih memasang senyum... Anda mungkin masih menebalkan muka bertemu orangramai... Anda mungkin masih berasa gah berucap sebagai pemimpin...  Namun percayalah...  Keluarga dalam keraguan...  Ahli-ahli parti dalam kemarahan...  Masyarakat dalam kesinisan...  Melihat pemimpin utama melakukan tarian jelek...  Dalam irama sumbang dan nyanyian pelik...

Segala tindakan akan diletakkan dibawah teropong...  Kedegilan akan hanya membuahkan cemuhan sehingga bergenerasi akan datang...  Jadilah sebahagian dari sejarah gemilang... Bukannya sejarah songsang yang hanya mengundang padah tak berkesudahan...

Maruah bangsa - perlu diperjuangkan setiap masa...
Maruah parti - perlu dipertahankan dengan jatidiri...
Maruah keluarga - perlu menjadi kepentingan utama...
Maruah diri?  Hanya KEEGOAN yang menjadi julangan hati...

Manakah yang lebih penting?

Monday, September 13, 2010

Salam Aidilfitri

Allahuakbar... Allahuakbar... Allahuakbar...

Alhamdulillah Ramadhan tahun ini dilalui dengan berbagai ragam dan dugaan... Namun aku bersyukur kerana ianya dapat disempurnakan dengan sesempurna yang boleh dan yang lebih manis lagi apabila kesemua anak-anakku termasuk yang berumur 7 tahun berupaya berpuasa penuh... Si ibu seperti biasa ada bercuti hehe...

Tahun ini giliran aku berhari raya di Kampung Londang, Masjid Tanah... Sejak mula perkahwinan persetujuan telah dicapai untuk menggilirkan Hari Raya di kampungku Gombak dan kampung isteriku di Melaka... Bagiku berhari raya di Melaka tidaklah menjadi masalah kerana memang rutin harianku berada di Gombak setiap hari dan bertemu ibubapaku bila masa aku hatiku tergerak, pastinya aku terpacul di pintu rumah mereka... Syukur alhamdulillah dengan kelebihan yang dikurniakan...

Lazimnya aku sekeluarga akan sampai di Kg Londang pada hari 'memantai', sehari sebelum hari raya... Tugas hakikiku tiap-tiap tahun ialah menyediakan rendang minang, hasil resipi yang aku perolehi dari kedua orangtuaku... Pada tahun-tahun awal rendangku selalu tidak menentu rasanya... Maklumlah selalunya aku jadi tukang kacau rendang sahaja di Gombak yang tiap tahun tidak kurang dari 30kg daging tempahan yang diterima... Di Melaka aku menjadi segalanya... Ke pasar membeli keperluan... Memotong daging dan rencahnya... Tukang kacau dan yang paling utama 'Head chef' untuk rendang ini... Alhamdulillah tahun ini mereka semua memberikan 5 bintang untuk rendang minangku... Isteriku seperti biasa memberikan motivasi yang lebih dengan mengatakan rendang tahun ini lebih sedap dari yang emak buat di Gombak... Hehehe...

Keadaan di Masjid Tanah memang sibuk... Hendak ke pasar terpaksa melalui kesesakan lalulintas... Hendak meletak kereta kenalah cari yang agak jauh sedikit... Yang paling malas sekali untuk dilakukan ialah beratur panjang membeli santan.... Tahun ini aku menetapkan untuk memasak 3 kg daging untuk rendang maka santan yang diperlukan ialah 3 kg juga... Campur dengan keperluan santan yang lain maka aku beli 4 kg... Tapi yang membuatkan aku lemah lutut beratur ialah kesemua pelanggan yang berada di depanku membeli lebih 5 kg tiap seorang... maka dengan rasminya waktu beratur menjadi lebih panjang... Santan aku terima selepas 1 jam menunggu... Tapi seronok juga melihat telatah beberapa pelanggan yang cuba menggunakan berbagai cara untuk 'potong Q'... Aku lihat mereka yang kenal rapat dengan penjual santan seringkali mendapat layanan khas... Siapa kata korupsi dan penyalahgunaan kuasa cuma berlaku dalam kerajaan BN..?  Di pasar pun mengamalkan kronisme dan nepotisme huhhhh...

mcm nak beli tiket wayang....

Pada malam Hari Raya suasana di Kampung Londang memang amat meriah...  Ianya mengingatkan aku kepada suasana Hari Raya di Kampung Simpang Tiga, Gombak 30 tahun yang lepas... Letupan mercun dan bungapi memenuhi suasana... Ditambah pula dengan dentuman meriam karbaid...  Memang meriah... Rumah mertuaku hanya 200 meter dari masjid Kampung Londang maka suara takbir jelas kedengaran...  Memang meruntun perasaan... Aku, isteri, anak-anak dan adikberadik ipar berdiri di luar rumah menyaksikan pertunjukkan bungapi percuma... Sedikit terkilan melihat anak-anakku tidak bermain bungapi... Walaupun Busu sanggup pergi membeli namun aku telah membuat ketetapan untuk tidak membenarkan anak-anakku bermain bungapi tahun ini... Malang tidak berbau...  Aku tidak mahu berhariraya menemani mereka di hospital...  Namun mereka cukup gembira dengan adanya modem broadband... Itulah keseronokkan anak-anak zaman millenium...

Hari Raya pertama berlangsung dengan rutin biasa tahunan... Tahun ini merupakan solat aidilfitri bersejarah kerana tengku mudaku turut serta berada di saf sebelah kiriku manakala putera mahkotaku berada disebelah kanan...  Melihatkan mereka berdua membesar dengan cepat dan dengan alunan merdu takbir hari raya membuatkan aku menjadi amat sayu...  Sesungguhnya masa berlalu begitu pantas... Namun aku bersyukur kerana setiap perkara baru yang berlaku kepada anak-anakku, berlaku di hadapanku...  Betullah bagai bait-bait dalam lagu 'Suatu hari di hari raya' dendangan M Nasir... "mungkin inilah dia kebahgiaan..."  Aku memandang mereka dan bersyukur, inilah hartaku yang paling berharga, paling tidak ternilai...  Doaku semoga mereka menjadi anak-anak yang soleh dan berjaya dalam kehidupan...

Sepert biasa jadual Hari Raya pertama merangkumi menziarahi pusara bapa mertua, ke rumah sekitar rumah mertuaku dan yang paling menyelerakan ialah meratah ayam kampung dan udang bersambal...  Hidangan unik Kampung Londang, Masjid Tanah...

Di Hari Raya kedua, selepas berhari raya di beberapa rumah saudara mara isteriku, birasku yang berasal dari Finland yang berkahwin dengan Angah bercadang untuk berbarbeku...  Rupa-rupanya kesemua bahan telah beliau beli...  Aku sebagai 'souz chef' terus menyediakan bahan-bahan untuk memerap daging dan ayam...  Siapkan bara arang...  Bermulalah aktiviti bakar membakar...  Nasib baik tahun ini Jari tidak membeli daging arnab seperti 10 tahun yang lepas...  Bila sudah disiang arnab kelihatan seperti kucing...  Akibatnya dari 2 ekor yang dibeli hanya sebelah paha arnab sahaja yang dimakan oleh Jari...  Begitulah sinonimnya kasih bangsa Melayu terhadap kucing... 

souz chef bersama tenaga buruh dari Finland hehehe... (cool Jari hehe..)
aksi makyong dengan tengku mahkota...
QC sedang menjalankan tugas... jumlah sampel diperlukan = sehingga kembung...
tengku muda sebagai food critics berkaliber... "drumstick boy punyerrrr..."
datin seri sebagai bibik sulawesi pemotong daging... i lap u lahhhh...

Selesai berbarbeku kami bersiap untuk pulang ke Kota Damansara... Persinggahan terakhir ialah ke rumah anak buah isteriku di sebuah taman perumahan di Paya Rumput, dalam laluan pulang...  Raya ketiga kami perlu berada di Kampung Simpang Tiga Gombak... Keluarga sebelahku pula menanti untuk menjamu...

Selamat Hari Raya dari kami sekaluarga... Kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat tuturkata, perbuatan dan kesalahan...  Sesungguhnya sebagai manusia kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan...

Ikhlas dari kami... Jefri, Amy, Mrule, Alia dan Dean...

Monday, August 30, 2010

Bubur Lambuk dan Anak-anak Yatim

Bila tiba bulan Ramadhan, pada tiap-tiap tahun maka ramailah antara kita yang akan bermurah hati untuk terlibat dengan salah satu atau kedua-dua subjek di atas... Pertamanya bubur lambuk... Semakin banyak pihak menganjurkan majlis gotong royong memasak bubur lambuk seterusnya mengagih-agihkannya kepada orangramai tanpa mengira fahaman politik... Saya melihat fenomena ini sebagai satu usaha positif dalam menghidupkan semula semangat gotong royong serta bersedekah yang semakin lama semakin menipis di dalam masyarakat kita... Lebih menyeronokkan apabila dilihat lebih ramai golongan muda turut serta dalam program ini... 


Apakah signifikannya memasak bubur lambuk? Kenapa bukan kuih karipap? Atau nasi goreng? Atau juga laksa? Mungkin kerana ianya lebih mudah disediakan dan enak dimakan... Bapa saya juga menerima 2 bungkus dari program yang berbeza... Gembiranya beliau kerana sedang sakit gigi dan tak perlu untuk mengunyah...

Subjek yang lebih penting untuk dibincangkan ialah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin... Dalam hal ini saya gembira apabila lebih ramai pihak tampil memberikan sumbangan kepada mereka... Maka tak menang tangan rumah-rumah anak-anak yatim ini melayani jemputan berbuka puasa serta penyampaian sumbangan... Pada bulan ini jugalah mereka akan diberikan bermacam-macam sumbangan sehinggakan ada antara rumah anak-anak yatim ini terpaksa menolak undangan disebabkan telah 'fully booked'...

Isunya ialah kenapa selepas bulan Ramadhan maka mereka seperti dilupakan? Adakah kita yakin yang bersedekah itu cuma perlu dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja?

Rasanya adalah lebih bermanfaat lagi sekiranya badan-badan korporat serta individu-individu pemurah ini meneruskan usaha membantu golongan-golongan ini secara berterusan pada bulan-bulan lain... Masih terdapat banyak kekurangan dan masalah yang dihadapi oleh golongan-golongan ini dalam menempuhi kehidupan seharian... Yakinlah bahawa bantuan dan sedekah yang dihulurkan pada bulan-bulan lain juga mendapat ganjaran dari Allah swt...


Pada program yang saya hadiri semalam, Ahad 29 Ogos 2010 sumbangan telah diberikan kepada anak-anak yatim yang bukan dari pusat/rumah anak-anak yatim... Tahniah kepada pihak terbabit yang berusaha mengenalpasti anak-anak yatim yang berada bersama dikalangan kita yang juga memerlukan bantuan terutamanya menjelang Syawal... Kadangkala kita cuma melihat anak-anak yatim yang berada dalam pusat-pusat jagaan dan terlepas pandang kepada anak-anak yatim yang masih berada di sekitar kita yang menghadapi kesukaran dalam mengharungi kehidupan seharian...