Banyak peribahasa yang menjurus kepada pentingnya masa... Saya secara peribadi percaya penuh kepada ungkapan "Kalau kita tidak dapat mengurus masa kita sendiri maka harus bersedia untuk menerima kegagalan"... Mana tidaknya... Hanya kita sendiri yang boleh mengawal masa kita, sekiranya itu pun tidak mampu diurus maka jangan kita bermimpi untuk menguruskan orang lain atau mana-mana organisasi...
Early bird catches the worm... Rezeki akan hampir kepada orang yang bangun awal dan bukannya kepada "muka bantal" yang seringkali merasakan dirinya kekurangan tidur dan berjaya "menipu" dirinya untuk terus tidur sepuas-puasnya... Lainlah sekiranya punca pendapatan kita memerlukan untuk kita bekerja (bukan berjaga ikut kawan-kawan) pada waktu malam... Saya melihat fenomena merasakan "rugi" sekiranya tidak dapat tidur dengan puas akan hanya melemahkan semangat seseorang.... Itu belum diambilkira terpaksa membuat berbagai alasan untuk melindungi tabiat ketagihan tidur kita dari diketahui oleh orang lain khususnya majikan atau pelanggan... Itu belum dikira pembohongan yang terpaksa dicipta sebagai alasan kerja yang gagal disempurnakan...
Apakah implikasinya apabila kita tidak menepati masa? Terlalu banyak... Antara akibat besar yang akan ditanggung ialah hilangnya rasa kepercayaan pihak lain kepada kemampuan kita dalam apa bidang jua pun... Orang akan berkata di belakang kita dan reputasi akan terjejas dengan teruk... Perkara kedua yang akan berlaku ialah hilangnya peluang-peluang yang mungkin akan menanti kita pada masa hadapan... Saya secara peribadi lebih berminat untuk mencari rakan kongsi atau memberikan sesuatu peluang kepada individu yang boleh diyakini ketepatan beliau mematuhi jangka waktu.... Kita semua dikawal dengan "dateline"... Sekiranya "dateline" kita bergantung kepada orang lain mematuhi "dateline" yang dipersetujui maka seseorang yang mementingkan ketepatan masa sudah pasti menjadi keutamaan kita dalam menjalinkan urusan... Mana mungkin kita menerima akibat dan dipersalahkan oleh pelanggan sekiranya kegagalan itu disebabkan oleh orang lain yang memang sengaja gagal mengawal waktunya...
Orang yang gagal mengawal masa sering merasakan pihak lain perlu menunggu mereka dan kelewatan mereka perlu diterima dan diadaptasikan.... Tapi percayalah, pihak lain akan hanya berurusan hanya kerana tiada pilihan lain atau mungkin telah terikat atas sebab-sebab tertentu... Jika diberi pilihan lain maka orang yang selalu lewat ini akan ditinggalkan dan peluang akan diberikan kepada mereka yang lebih menghargai masa orang lain....
Melalui pengalaman, orang yang gagal mengawal masanya akan sering gagal menyiapkan kerja atau projek yang diperolehinya seterusnya menghadapi begitu banyak masalah yang pasti timbul.... Seringkali juga suka bertangguh dalam banyak hal... Akhirnya kerja akan dilihat bertimpa-timpa dan merasakan masa tidak mencukupi...
Ingatlah bahawa "Penantian itu adalah satu penyeksaan".... Wajarkah kita memperlakukan orang lain hanya kerana kegagalan kita menepati waktu?
Kesabaran seseorang itu ada batasannya... Jangan kita menghukum orang yang berusaha untuk menepati masa dengan membuat beliau tertunggu-tunggu... Mulut mungkin tersenyum tapi hati siapa yang tahu? Separuh dari "mood" hilang hanya disebabkan kelewatan kita...
Ubahlah cara berfikir... Kalau kita ingin sampai cepat maka keluarlah awal... Jangan salahkan kesesakan lalulintas atau perkara-perkara lain bila kita terlewat keluar dari rumah... Jika ingin sesuatu usaha itu berjaya maka janganlah bertangguh hingga ke saat akhir untuk menyiapkannya... Siapkan awal lalu kita boleh merasa tenang atau tagguhkan kerja sehingga orang lain marah kepada kita... Pilihan di tangan kita... Masa kita cuma kita sendiri yang dapat mengawalnya....
"Masih belum terlambat lagi untuk menjadi orang terawal"